Berita

UMNO 80 Tahun: Tengku Adnan Seru Bangkit Dengan Semangat Syukur dan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 30 April — Menjelang ulang tahun ke-80 UMNO pada 11 Mei ini, Bendaharinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tampil dengan seruan agar anggota parti terus bersemangat di samping mengajak seluruh rakyat menghayati nilai sejarah dan perjuangan yang telah diaplikasi dari perjuangan UMNO.

Beliau menegaskan bahawa perjalanan lapan dekad UMNO bukan sekadar angka, tetapi lambang perjuangan panjang yang telah membentuk asas negara.

“Yang paling penting sekali, UMNO telah menerajui kerajaan selama lebih 60 tahun, kita bukan sahaja membangunkan negara, malah membebaskan tanah air daripada penjajah.

“Jasa besar ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi satu legasi yang wajar terus disemai dan disampaikan kepada generasi muda, agar mereka benar-benar memahami bagaimana negara ini dibangunkan melalui keringat, pengorbanan dan semangat perjuangan UMNO yang ditubuhkan khusus untuk mempertahankan serta memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Menurut beliau, sambutan yang bermula seawal 1 Mei ini harus menjadi titik muhasabah — melihat kembali pengorbanan lalu, memahami cabaran semasa, dan bersiap menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan mengingatkan bahawa cabaran masa depan akan terus wujud, justeru perpaduan dalam kalangan ahli dan masyarakat amat penting.

“Yang paling penting sekali kita semua mesti bersatu. Seperti kata pepatah Melayu, bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat, khususnya orang Melayu, tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin atau maklumat yang tidak pasti kesahihannya.

“Kita kena matang. Jangan dengar cerita yang kita sendiri tak pasti. Nilai, fikir, dan bertindak dengan bijak,” ujarnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau mengajak semua ahli dan rakyat untuk mengangkat rasa syukur atas usia 80 tahun UMNO dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat.

“Kita patut berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh UMNO. Kepada ahli-ahli parti, bersatulah bagi memastikan kita dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diperlukan oleh rakyat.

“Kepada seluruh masyarakat, diharapkan agar menyedari bahawa tidak ada sebuah parti seperti UMNO yang mempunyai struktur dari akar umbi hingga ke peringkat pusat. Marilah kita bersyukur atas usia 80 tahun UMNO, dan semoga UMNO akan terus kekal,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.