Aktiviti & Komuniti

UMNO Putrajaya Cadang Bas Percuma Untuk Penjawat Awam

PUTRAJAYA, 7 Mei – UMNO Putrajaya menyarankan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan perkhidmatan bas percuma khusus untuk penjawat awam yang menetap di sekitar Putrajaya bagi memudahkan urusan perjalanan pergi dan balik kerja.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, cadangan itu dilihat mampu membantu mengurangkan kesesakan serta masalah kekurangan tempat letak kereta di kompleks-kompleks kerajaan.

Menurut beliau, perkhidmatan tersebut boleh dijalankan pada waktu puncak iaitu seawal 6.30 pagi hingga 8.30 pagi untuk perjalanan ke tempat kerja, manakala sesi pulang pula dicadangkan bermula 4.30 petang hingga 6.30 petang.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, khususnya penjawat awam di sekitar Putrajaya,” katanya.

Beliau turut yakin cadangan itu akan mendapat sambutan positif daripada orang ramai kerana mampu menjimatkan kos bahan api selain memberi peluang kepada pengguna menikmati perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Cawangan Bunga Kosandra yang telah selesai mengadakan persidangan. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.