Bila Lidah Pemimpin Gagal Menjaga Maruah Sahabat Nabi
Isu yang melibatkan ucapan terhadap para sahabat Rasulullah SAW bukan isu kecil yang boleh dipandang ringan, dipolitikkan atau dipertahankan secara membuta tuli atas nama kepartian. Ia menyentuh soal akidah, adab terhadap generasi terbaik umat Islam, serta penghormatan terhadap insan-insan yang dipilih Allah SWT untuk mendampingi Nabi Muhammad SAW dalam perjuangan menegakkan Islam.
Apabila seorang tokoh agama atau ahli politik berbicara tentang para sahabat dengan ungkapan yang membuka ruang penghinaan, sindiran atau pendedahan aib secara tidak berhikmah, maka masyarakat berhak menegur dengan tegas. Lebih-lebih lagi apabila ucapan tersebut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam sendiri.
Allah SWT sendiri telah memuliakan para sahabat di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari kalangan Muhajirin dan Ansar, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pula reda kepada-Nya.” — Surah at-Taubah: 100
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah telah meredai para sahabat Nabi SAW. Maka bagaimana mungkin lidah manusia hari ini begitu mudah membicarakan kekurangan mereka tanpa penuh adab dan kehormatan?
Rasulullah SAW juga memberi amaran keras tentang kedudukan para sahabat. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:
“Janganlah kamu mencela para sahabatku. Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud sekalipun, ia tidak akan dapat menyamai satu mud atau separuh mud yang diinfaqkan oleh mereka.” — Riwayat al-Bukhari (3673) & Muslim (2541)
Hadis ini bukan sekadar larangan mencela secara terang-terangan, bahkan memberi gambaran betapa tingginya darjat para sahabat di sisi Allah SWT. Mereka bukan maksum, tetapi jasa, pengorbanan dan keimanan mereka mengatasi seluruh umat selepas mereka.
Ya, benar para sahabat pernah hidup dalam jahiliah sebelum Islam. Namun Islam datang bukan untuk terus mengungkit dosa silam manusia yang telah bertaubat dan dimuliakan Allah. Islam mengajar kita menutup aib, bukan membuka ruang penghinaan terhadap insan yang telah Allah sucikan dengan keimanan dan perjuangan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Islam menghapuskan apa yang berlaku sebelumnya.” — Riwayat Muslim (121)
Maka membesar-besarkan sisi gelap kehidupan sebelum Islam tanpa keperluan ilmiah yang mendidik adalah tindakan yang sangat tidak berhikmah. Lebih malang jika disampaikan dalam nada yang boleh menimbulkan ketawa, sindiran atau persepsi rendah terhadap para sahabat.
Seorang pendakwah perlu memahami bahawa ilmu tanpa adab akan merosakkan umat. Tidak semua fakta perlu diungkap tanpa timbang tara hikmah. Ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sejak dahulu sangat berhati-hati apabila berbicara tentang para sahabat. Imam at-Tahawi dalam aqidahnya menyebut:
“Kami mencintai para sahabat Rasulullah SAW dan tidak melampau terhadap seorang pun daripada mereka, serta tidak berlepas diri daripada mana-mana sahabat Baginda.”
Ini manhaj Ahli Sunna, menjaga lidah terhadap para sahabat, menyebut kebaikan mereka, dan diam daripada perkara yang boleh menimbulkan fitnah terhadap mereka.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila ada pihak cuba mempertahankan ucapan sebegini secara fanatik politik, seolah-olah tokoh tertentu tidak boleh ditegur. Dalam Islam, tiada manusia kebal daripada teguran. Semakin tinggi seseorang membawa imej agama, semakin besar tanggungjawabnya menjaga tutur kata.
Rakyat tidak marah kerana mahu mencari kesalahan, tetapi kerana umat Islam diajar sejak kecil untuk mencintai Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan seluruh sahabat Rasulullah SAW. Mereka adalah generasi yang mempertaruhkan nyawa demi memastikan Islam sampai kepada kita hari ini. Tanpa mereka, kita mungkin tidak mengenal al-Quran, hadis dan Islam seperti yang diwarisi sekarang.
Oleh itu, dalam isu seperti ini, sikap yang paling matang dan bertanggungjawab ialah tampil memberikan penjelasan dengan rendah hati serta memohon maaf jika ucapan tersebut telah mengguris hati umat Islam. Berlapang dada menerima teguran jauh lebih mulia daripada terus mempertahankan ucapan yang telah menimbulkan fitnah dan keresahan.
Saya amat kecewa apabila seorang tokoh agamawan tambahan Seorang ahli parlimen Pasir Putih untuk penggal kedua, tempat saya dilahirkan dan ramai ulama-ulama tasawwuf lahir dari dan berkembang pesat di sana seperti Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal, Tuan Guru Haji Hasyim Pasir Puteh, dan termasuk nama-nama besar seperti Tok Kenali, Tuan Guru Abd Rahman Lubuk Tapah, Tokku Paloh (walaupun mereka tidak berasal dari Pasir Puteh tetapi pengaruh dan jaringan sanad mereka kuat hingga pengaruh ke jajahan Pasir Puteh).
Seorang agamawan yang memasuki dunia politik memikul dua amanah besar sekaligus: amanah ilmu dan amanah kepimpinan. Kesilapan lidahnya bukan sahaja mencalarkan imej dirinya, bahkan boleh memberi kesan kepada persepsi masyarakat terhadap perjuangan Islam yang dibawanya.
Oleh sebab itu, pendekatan paling matang dan selari dengan akhlak kepimpinan Islam ialah tampil dengan sifat tawaduk, menjelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf sekiranya ucapan tersebut telah mengguris hati umat Islam. Memohon maaf tidak menjatuhkan maruah seorang pemimpin, bahkan meninggikan kedudukannya di sisi rakyat yang menghargai keikhlasan dan keberanian mengakui kelemahan.
Politik tanpa adab akan melahirkan ketaksuban. Dakwah tanpa hikmah pula akan melahirkan fitnah. Dan umat ini tidak memerlukan kedua-duanya.
Apabila seorang pemimpin yang membawa imej perjuangan Islam gagal menjaga adab terhadap para sahabat Nabi SAW, rakyat akhirnya mula mempersoalkan:
Apakah Pas hari ini benar-benar masih memperjuangkan siyasah Islam yang berteraskan ilmu, adab dan penyatuan umat, atau sekadar tenggelam dalam politik taksub mempertahankan pemimpin walau apa pun kesilapannya?
Ahmad Tarmizi Che Age
EXCO Pemuda UMNO Damansara

