Aktiviti & Komuniti

UMNO Putrajaya Sumbang 100 Kerusi Kepada SMK Presint 14(1)

PUTRAJAYA — UMNO Putrajaya melalui Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya hari ini menyumbangkan 100 buah kerusi kepada SMK Presint 14(1) bagi menggantikan kerusi yang rosak dalam kejadian kebakaran dewan sekolah itu minggu lalu.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu kelancaran persediaan peperiksaan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Menurut beliau, kerusi berkenaan akan digunakan oleh sebahagian daripada 332 calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini.

“Sumbangan bernilai RM2,500 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pihak sekolah selepas sebahagian kerusi musnah dalam kebakaran dewan baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas bantuan awal sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih dewan sekolah tersebut.

Dalam perkembangan sama, Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya turut meneruskan tradisi tahunan dengan menghantar kek sempena sambutan Hari Guru ke semua 29 sekolah rendah dan menengah di Putrajaya sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.