Tengku Adnan Salur Sumbangan Segera Kepada Mangsa Kebakaran
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor menyalurkan sumbangan segera kepada mangsa kebakaran, Rosnezam Mat Saat, 46, yang kehilangan tempat tinggal selepas kediamannya musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Pangsapuri Putra Damai, Presint 11, pagi ini.
Sumbangan tersebut disampaikan bagi pihak beliau oleh Ketua Cawangan UMNO Bunga Siantan, Cik Ayie, menerusi Peti Undi Saujana Hijau sebagai tanda keprihatinan dan solidariti UMNO Bahagian Putrajaya terhadap nasib keluarga yang ditimpa musibah.
Kebakaran tersebut melibatkan kediaman mangsa di Blok C, T11-U03, Pangsapuri Putra Damai, Presint 11, yang dilaporkan musnah sepenuhnya.
Tengku Adnan berharap sumbangan segera itu dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa dan keluarganya, khususnya dalam menghadapi saat sukar selepas kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa serta berharap mereka diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat berkenaan.
Keprihatinan dan bantuan segera ini mencerminkan komitmen UMNO Bahagian Putrajaya untuk sentiasa mendekati masyarakat serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira keadaan dan masa. – UMNOPutrajaya



